Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah tetapkan 30 Mei kes hadanah Diana-Farid Kamil

    Mahkamah Tinggi Syariah Malaysia menetapkan 30 Mei ini bagi sebutan inter-parte (dua pihak) bagi pasangan pelakon Diana Danielle Danny Beeson dan Farid Kamil Zahari berhubung hak penjagaan sementara anak.

    Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana, 32, berkata mahkamah turut melanjutkan perintah hadanah interim ex-parte (satu pihak) kepada pelakon wanita itu sehingga 30 Mei.

    “Kedua-dua pihak (Diana dan Farid) telah maklum kepada hakim bahawa kita mahu ambil inisiatif penyelesaian mahkamah semua isu berkaitan kedua-dua belah mereka.

    “Nampaknya ada harapan sebab pihak sana juga sudah tunjukkan kemahuan mereka untuk berbincang dengan kita, pada proses penyelesaian pertikaian yang ditetapkan pada 11 April ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas prosiding di hadapan Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa.

    Pada 24 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara dua anak pasangan berkenaan, yang berusia 10 dan lapan tahun kepada Diana, namun tiada halangan untuk Farid berjumpa dengan anak-anaknya.

    Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid, 42, turut mengesahkan perkara tersebut.

    Beliau memaklumkan arahan anak guamnya adalah untuk menyelamatkan rumah tangga mereka supaya dua anaknya tidak terpisah dengan kedua-dua ibu bapa.

    Pada 10 Mac lepas, Diana selaku plaintif memfailkan permohonan cerai terhadap Farid mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri. – Bernama

    Diana mendedahkan menerusi IG, Farid bertindak menempatkan Aurora dalam biliknya atas alasan ingin memberi pengajaran atas kesalahan memetik cili di rumah jiran. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda