Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Thailand arah bekas PM Thaksin bayar bil cukai AS$500 juta

    BANGKOK, 18 NOV – Mahkamah Agung Thailand kelmarin telah mengarahkan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, yang kini dipenjara, untuk membayar cukai tertunggak berhubung penjualan firma telekomunikasinya, menurut badan kehakiman, dengan laporan menyatakan jumlah yang perlu dibayar adalah sekitar setengah bilion dolar.

    Pada 2006, Thaksin dibelenggu dakwaan rasuah dan kontroversi mengenai penjualan saham syarikatnya, Shin Corp, tanpa dikenakan cukai.

    Kemudian pada tahun yang sama, beliau digulingkan sebagai perdana menteri melalui satu rampasan kuasa dan seterusnya hidup dalam buangan selama lebih sedekad.

    Ahli politik berusia 76 tahun itu, salah seorang individu terkaya di Thailand, kini sedang menjalani hukuman penjara di Bangkok atas kesalahan rasuah ketika memegang jawatan.

    Kelmarin, Mahkamah Agung membatalkan keputusan mahkamah rayuan dalam kes cukai tersebut, “memaksa Thaksin mematuhi arahan Jabatan Hasil untuk membayar cukai”, kata jurucakap mahkamah, Suriyan Hongvilai, kepada AFP.

    Suriyan tidak memberikan jumlah tepat yang perlu dibayar dan tidak mengulas mengenai alasan penghakiman tersebut.

    Beberapa media Thailand melaporkan bahawa mahkamah mengarahkan Thaksin membayar 17.6 bilion baht (AS$540 juta) dalam liabiliti cukai dan denda.

    Pegawai cukai sebelum ini mengenakan bil berjumlah AS$500 juta kepada bekas perdana menteri itu pada 2017, menghidupkan kembali pertikaian yang menjadi tumpuan perpecahan politik negara antara ahli politik populis itu dan pihak ketenteraan.

    Kontroversi tersebut berpusat pada persoalan sama ada Thaksin sepatutnya membayar cukai bagi penjualan Shin Corp kepada Temasek Holdings dari Singapura pada 2006.

    Kecaman terhadap perjanjian itu yang memberikan keuntungan mengejut sebanyak AS$1.9 bilion kepada keluarga Shinawatra menjadi pencetus penentangan terhadap pemerintahannya. – AFP

    Thaksin Shinawatra semasa tiba di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit di Bangkok, Thailand pada 9 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda