BANGKOK, 12 NOV – Mahkamah rayuan di Thailand pada Isnin telah meluluskan permohonan ekstradisi ke China terhadap She Zhijiang, individu yang didakwa sebagai ketua jenayah rentas sempadan dan dituduh oleh Beijing mengendalikan lebih daripada 200 operasi perjudian dalam talian haram.
Warga China itu dianggap antara individu paling berprofil tinggi dalam kalangan suspek pengendali jenayah siber di Asia yang berjaya ditangkap, walaupun China sebelum ini pernah menahan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap beberapa penganjur penipuan utama.
She telah ditahan di Bangkok pada Ogos 2022 berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak polis China pada tahun 2014. Ketika ini, beliau ditempatkan di Penjara Pusat Klong Prem di bandar Thailand. Pasukan peguam She sebelum ini mencabar kesahihan undang-undang ekstradisi Thailand, namun bantahan itu ditolak bulan lalu.
Keputusan mahkamah pada Isnin menetapkan beliau mesti dihantar pulang ke China dalam tempoh 90 hari.
Jenayah siber semakin berleluasa di Asia Tenggara di mana penguatkuasaan undang-undang lemah, terutamanya di Kemboja dan Myanmar.
Kasino menjadi tempat perlindungan bagi aktiviti jenayah dan terkenal sebagai pusat penipuan dalam talian ketika pandemik COVID-19 menjejaskan perjudian secara bersemuka.
Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara Thailand, pihak berkuasa China telah menuduh She menubuhkan sebanyak 239 laman perjudian dalam talian haram serta mengaitkannya dengan rangkaian perjudian dan kasino tidak sah di Myanmar.
She menjadi terkenal di rantau ini apabila beliau membangunkan projek Yatai New City di bandar Shwe Kokko, Myanmar sebuah kompleks berhampiran sempadan Thailand yang terkenal dengan aktiviti penipuan siber dan pemerdagangan manusia. – AP

