BANGKOK, 29 MAC – Mahkamah Thailand hari ini menggugurkan dakwaan keganasan terhadap 67 pemimpin protes antikerajaan yang menghuni lapangan terbang antarabangsa Bangkok pada 2008, kata salah seorang defendan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang dikenali sebagai Baju Kuning menguasai dua lapangan terbang Bangkok selama lebih seminggu bagi menuntut peletakan jawatan perdana menteri ketika itu, Somchai Wongsawat, yang menjadi tajuk berita utama di seluruh dunia dan menyebabkan gangguan penerbangan yang menjejaskan ratusan ribu pelancong.
Panthep Puapongpan, bekas jurucakap kumpulan itu dan salah seorang defendan, berkata mahkamah telah menolak kes tersebut dan tindakan kumpulannya adalah ‘berperlembagaan’.
“Keputusan mahkamah menunjukkan bahawa usaha kami tidak sia-sia,” katanya di laman Facebook peribadinya hari ini.
Defendan seramai 67 orang itu termasuk ahli politik, diplomat dan penyanyi tetapi mahkamah memutuskan bahawa tindakan mereka adalah ‘aman dan bebas senjata’.
Disokong oleh golongan elit Bangkok, Baju Kuning – yang secara rasmi dikenali sebagai Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) – menghentikan tindakan mereka selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan memecat Somchai daripada jawatan. – AFP