BANGKOK, 22 OGOS – Mahkamah Agung Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin Shinawatra, selepas bekas Perdana Menteri itu kembali ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan.
Hukuman itu berkaitan dengan tiga sabitan yang dijatuhkan ke atas Thaksin, 74, tanpa kehadirannya sebelum ini, kata mahkamah dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Thaksin tiba di Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan, hari yang sama sidang Parlimen mengundi perdana menteri baharu.
Beliau selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang pada jam 9 pagi waktu tempatan dengan menaiki pesawat persendirian yang berlepas dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura.
Diiringi anak lelaki dan anak perempuannya, termasuk Paetongtarn, yang juga seorang daripada tiga calon perdana menteri Parti Pheu Thai, beliau meletakkan jambangan bunga di hadapan gambar Raja Maha Vajiralongkorn di luar bangunan terminal.
Thaksin sempat melambai ahli keluarga, penyokong dan media yang berkumpul di luar bangunan terminal sebelum masuk ke dalam bangunan itu semula.
Penyokong Thaksin berbaju merah berkumpul di luar terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang bagi mengalu-alukan kepulangannya sambil memegang sepanduk.
Penyokongnya berkhemah di luar terminal sejak Isnin. – AFP


