KUALA LUMPUR, 16 NOV – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan empat ahli Parlimen di Sabah.
Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang memohon supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat orang ahli Parlimen itu kosong.
Hakim Datuk Amarjeet Singh berkata mahkamah terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk menyoal keputusan Speaker Dewan Rakyat atas kekosongan empat buah kerusi berkenaan mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan pemohon (Bersatu) dan tiada perintah terhadap kos,” katanya.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu selaku pemohon pada 17 April lepas.
Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen terlibat iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu. – Bernama
