Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah tolak permohonan rayuan hukuman rogol

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan seorang lelaki yang ingin merayu terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya atas beberapa pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur.

    Panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong bersama Hakim Michael Lunn dan Edward Timothy Starbuck Woolley menolak permohonan lelaki tersebut untuk lanjutan masa bagi memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada Mac 2023.

    Pemohon yang berusia 44 tahun ketika kejadian telah disabitkan dengan tiga pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(1) Kanun Hukuman Jenayah.

    Mangsa, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, merupakan anak saudara dan tinggal serumah dengan tertuduh.

    Berdasarkan rekod mahkamah, kesalahan itu berlaku berulang kali dari penghujung tahun 2020 hingga awal 2021. Hakim perbicaraan mendapati tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa berulang kali dengan mempergunakan kedudukannya sebagai ahli keluarga yang dipercayai.

    Gambar Freepik

    Rayuan tertuduh hanya berdasarkan alasan bahawa pemenjaraannya menyebabkan kesusahan kepada isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah, yang bergantung kepadanya sebagai pencari nafkah utama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri Kiprawi berhujah bahawa hukuman tersebut adalah wajar memandangkan keseriusan kesalahan yang dilakukan, serta mengambil kira beberapa faktor yang memburukkan lagi keadaan, termasuk pengkhianatan kepercayaan, usia mangsa yang masih muda dan serangan yang berulang kali.

    Panel hakim juga mengambil perhatian terhadap cubaan pemohon untuk menyalahkan mangsa dengan membuat tuduhan palsu semasa perbicaraan, yang dianggap sebagai faktor yang memberatkan lagi kesalahan.

    Dalam penghakiman bertulis mereka, para hakim menegaskan bahawa hukuman 20 tahun penjara tersebut adalah selaras dengan garis panduan hukuman yang ditetapkan dan menekankan bahawa kesusahan yang dialami oleh keluarga pesalah, walaupun dikesali, tidak menjadi alasan untuk mengurangkan hukuman dalam kes yang sebegitu serius.

    Mereka merumuskan bahawa tiada asas yang munasabah untuk menyatakan hukuman tersebut keterlaluan dan oleh itu menolak permohonan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda