MADRID, 21 Feb – Mahkamah Sepanyol semalam menolak rayuan daripada Neymar (gambar) dan Barcelona berkenaan dakwaan penipuan dan rasuah dalam perpindahan bintang Brazil itu dari Santos pada tahun 2013.
Keputusan itu memberi bayangan yang pemain dan kelab berkenaan bakal berdepan perbicaraan.
Ketibaan Neymar dari kelab Brazil, Santos membawa kejayaan besar buat juara Sepanyol itu di atas padang tetapi menjadi mimpi ngeri secara undang-undang.
Penyerang 25 tahun Brazil itu kini sedang disiasat di Brazil dan Sepanyol berkenaan isu perpindahan ke La Liga.
Barcelona pada awalnya mengumumkan harga perpindahan pada 57.1 juta euro dengan 40 juta euro daripadanya diberikan kepada keluarga pemain.
Namun pihak berkuasa Sepanyol percaya jumlah perpindahan sebenar sekurang-kurangnya bernilai 83 juta euro November lalu, pihak pendakwa mencadangkan penyerang itu dipenjara dua tahun dan didenda 10 juta euro kerana penipuan berkenaan.
Hukuman dua tahun penjara atau kurang biasanya tidak akan dikenakan ke atas pesalah kali pertama di Sepanyol. – AFP