Mahkamah tolak rayuan pedofil

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Mahkamah Tinggi, di sini, baru-baru ini menolak rayuan seorang pedofil yang telah disabit bersalah mencabul kehormatan beberapa orang kanak-kanak.

Dayemo @ Abdul Aziz bin Haji Moktal telah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan setelah disabit bersalah atas enam pertuduhan oleh Mahkamah Majistret pada Disember 2019.

Dayemo membuat rayuan di hadapan Ketua Hakim, Dato Seri Paduka Steven Chong terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya yang menurutnya terlalu lama dan ia akan menyebabkan kesukaran kepada keluarganya pada masa yang sama mempertikaikan bahawa keputusan majistret menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun itu melebihi kuasa majistret dalam menjatuhkan hukuman.

Dalam menolak rayuan berkenaan, ketua hakim berkata, kesukaran yang akan ditanggung oleh keluarga Dayemo tidak dapat mempengaruhi hukuman yang betul.

“Pihak rayuan memang benar bahawa majistret hanya mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara paling maksimum tujuh

tahun mengikut Seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah,” kata ketua hakim yang bersetuju dengan kenyataan tertuduh.

“Walau bagaimanapun, pihak rayuan terlepas pandang Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah yang mana apabila seseorang telah bersalah dalam satu atau dua atau lebih kesalahan, majistret boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun,” menurut ketua hakim dalam mempertahankan hukuman yang dijatuhkan majistret.

Ketua hakim turut mengatakan bahawa hukuman yang dikenakan ke atas Dayemo adalah setimpal dengan mengambil kira keseriusan perbuatan cabul yang memberikan risiko penularan penyakit dan merosakkan moral.

Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh mewakili pendakwa raya sebagai responden dalam rayuan tersebut.