Wednesday, April 2, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah tunggu laporan analisis DNA dari M’sia

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Pihak pendakwaan sedang menunggu laporan analisis DNA dari Malaysia dalam kes yang melibatkan rantaian perniagaan dadah sekeluarga, yang dikenali ‘Musang King’.

    Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Abdul Rahman menangguhkan kes sehingga 13 Julai depan melihat kepada maklumat yang diberikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman terhadap perkembangan laporan analisis dadah yang telah diserahkan dan menunggu keputusan DNA.

    Ahmad bin Haji Tamit dan isterinya, Maskunah binti Wahab bersama anak-anak mereka, Isamuddin, Mohammad Saifuddin dan Siti Izzatul Munirah serta suaminya Jakaria bin Ahad didakwa atas dua kesalahan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27, yang membawa hukuman mati. Tertuduh didakwa memiliki methylamphetamine seberat 18.9943kg untuk diperdagangkan. Methylamphetamine didakwa dijumpai di sekitar belakang sebuah rumah di Jalan Junjongan.

    Dakwaan juga menyatakan bahawa mereka memiliki 532.44g dadah kelas A methylamphetamine dalam botol-botol, untuk dijual, juga dijumpai di sekitar kawasan sama. Tertuduh-tertuduh tinggal di rumah-rumah di kawasan sekitar.

    Selain itu, Isamuddin menghadapi satu tuduhan berasingan secara individu kerana memiliki, untuk tujuan pemerdagangan, 54.1g methylamphetamine dalam beg plastik hitam di kawasan sebuah rumah di Jalan Junjongan.

    Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara 20 dan 30 tahun berserta hukuman wajib 15 kali sebatan. Siti Izzatul Munirah dan Jakaria juga didakwa kerana memiliki hasil jenayah yang bertentangan dengan Seksyen 3 Perintah Pemulihan Aset Jenayah, 2012 yang merupakan rumah dianggarkan bernilai $80,000 dan lebih daripada $100,000.

    Mereka juga dituduh menyembunyikan hak milik sebenar kenderaan dengan mendaftarkan kereta tersebut dengan nama pihak ketiga. Siti Izzatul Munirah juga menghadapi tuduhan memiliki lebih 50 barang kemas emas yang didakwa merupakan hasil jenayah.

    Peguam bela Pengiran Muhammad Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin mewakili semua tertuduh, kecuali Isamuddin yang diwakili oleh peguam bela Daud Ismail.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda