Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Turkiye sekat chatbot Grok

    ANKARA, 9 JULAI – Sebuah mahkamah di Turkiye hari ini telah mengarahkan larangan akses terhadap chatbot kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, Grok, selepas platform itu didakwa menyebarkan kandungan yang menghina Presiden Turkiye dan individu lain.

    Chatbot yang dibangunkan oleh syarikat xAI milik Musk itu dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Presiden Recep Tayyip Erdogan, mendiang ibunya serta beberapa tokoh lain ketika menjawab soalan pengguna di platform media sosial X, menurut saluran berita pro-kerajaan, A Haber.

    Beberapa saluran media lain turut melaporkan kenyataan menghina turut ditujukan kepada pengasas Turkiye moden, Mustafa Kemal Ataturk.

    Perkara itu mendorong pihak awam di Ankara memfailkan permohonan sekatan di bawah undang-undang internet Turkiye, dengan alasan ia merupakan ancaman terhadap ketenteraman awam.

    Sebuah mahkamah jenayah kemudiannya meluluskan permohonan tersebut pada awal pagi hari ini, dengan mengarahkan pihak berkuasa telekomunikasi negara itu menguatkuasakan larangan berkenaan.

    Insiden berkenaan merupakan sebahagian daripada kontroversi lebih meluas berhubung kemas kini terbaharu Grok yang menyebabkan platform tersebut mengeluarkan respons yang lebih ‘tidak wajar secara politik’ dan tidak ditapis. Susulan kontroversi yang semakin memuncak, syarikat X berkata mereka menyedari kandungan tersebut dan telah mengambil tindakan segera untuk memadam kandungan yang tidak sesuai.

    “Sejak kami menyedari kandungan itu, pihak xAI telah mengambil langkah untuk menyekat ucapan berbaur kebencian sebelum Grok memuat naik sebarang kandungan di X,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    “xAI hanya melatih model berdasarkan pencarian kebenaran dan dengan bantuan berjuta-juta pengguna di X, kami dapat mengenal pasti dan mengemas kini model dengan cepat apabila latihan perlu diperbaiki,” tambah kenyataan itu. – AP

    Elon Musk menghadiri sesi pleno pertama Sidang Kemuncak Keselamatan AI di Bletchley Park, pada 1 November 2023 di Bletchley, England. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda