Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahrajan tingkat perkembangan seni kaligrafi ke peringkat dunia

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Mahrajan Kaligrafi Antarabangsa 2024 telah menghimpunkan pakar-pakar kaligrafi dari seluruh dunia untuk berkongsi kepakaran, teknik dan gaya kaligrafi unik dari pelbagai tradisi Islam.

    Pada hari kedua mahrajan yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, (ICC) Berakas, hari ini, sesi pembentangan kertas kerja Islam daripada pakar-pakar penulis seni khat tempatan dan antarabangsa dapat memberi ilmu dan kesedaran yang mana kaligrafi daripada ayat-ayat Al-Quran mempunyai mesej untuk dijadikan renungan bersama.

    Sesi pembentangan kaligrafi kedua dihadiri oleh tenaga pengajar, penuntut sekolah dan persatuan kaligrafi itu memberi peluang mendengarkan pembentangan daripada Dr Haji Sharol Azmi bin Haji Muluk dari Negara Brunei Darussalam, Dr KH Didin Sirojuddin dari Republik Indonesia dan Belaid Hamidi dari Magribi di mana masing-masing menyampaikan pembentangan sesuai dengan tema Pemberdayaan Seni Kaligrafi Islam.

    Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi telah menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Kaligrafi Islam di Masjid Ikon Negara Brunei Darussalam: Peranannya Dalam Penyebaran Syiar Islam.

    Dalam kertas kerja beliau antara lain menumpukan kepada penyelidikan kepada kaligrafi Islam yang terdapat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi menyampaikan pembentangan menumpukan kepada kaligrafi Islam yang terdapat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan yang diadakan di ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Beliau mengongsikan, di mana terdapat lebih kurang 16 potong ayat Al-Quran telah ditulis menggunakan kaligrafi Islam dengan Khat Thuluth iaitu tiga potongan ayat yang berbeza diletakkan pada tiga kubah besar masjid dan 13 potong ayat Al-Quran lainnya dijadikan sebagai perhiasan dinding masjid.

    “Ayat-ayat yang dipilih juga merupakan ayat-ayat Al-Quran yang berfokuskan kepada penjelasan berkaitan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, kepentingan menjaga solat dan perintah berbuat kebajikan,” jelasnya.

    Kesimpulan daripada pembentangan kertas kerja beliau telah menjelaskan yang berdasarkan penyelidikan itu, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah merupakan sebuah masjid ikon negara sangat berperanan dalam menyebaran syiar Islam.

    “Salah satu usaha yang halus dalam penebaran tersebut menerusi paparan kaligrafi Islam yang sangat indah yang terdapat dalam dan luar bangunan masjid berkenaan iaitu menerusi pemilihan ayat-ayat Al-Quran yang sesuai mengikut tempat dan mudah difahami oleh pembacanya,” jelasnya.

    Manakala, Dr Didin Sirojuddin pula telah menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Metode Pengajaran Seni Kaligrafi yang efektif dan strategis (Catatan Pengalaman Belajar-Mengajar di Lemka, Indonesia).

    Menurutnya, belajar kaligrafi memerlukan keadaan suasana yang tenang untuk menjadikan tulisan kaligrafi itu kreatif dan bagi menjaga keindahan maka juga perlu ditulis dengan memperhatikan unsur-unsur harmoni dalam penulisan kaligrafi.

    Sementara kertas kerja yang bertajuk Hamidi’s metodology in the study and teaching of calligraphy through the system of traditional licenses and chain of transmission and its spread across the world telah disampaikan oleh Belaid Hamidi.

    Dalam pembentangan kertas kerja itu, beliau menyentuh mengenai sistem pengajaran didalam penulisan kaligrafi adalah secara individu di mana para pelajar yang terlibat akan diajar kemahiran dalam seni menyampaikan ilmu kaligrafi kepada rakan sebaya.

    Selain mengongsikan, Wall Magazine turut berperanan untuk membangunkan keyakinan pelajar dalam membincangkan dan mengkritik karya seni orang lain bagi mengembangkan lagi kemahiran seni tulisan kaligrafi mereka sendiri juga.

    Antara lain tujuan mahrajan itu adalah sebagai landasan atau platform bagi memberigakan kewujudan dan perkembangan kesenian kaligrafi di Negara Brunei Darussalam ke peringkat antarabangsa.

    Dengan secara tidak langsung, ianya dapat merapatkan dan mengeratkan hubungan persaudaraan dan persefahaman dengan institusi-institusi berkaitan dari dalam dan luar negara khususnya dalam memperkembangan bidang seni khat atau kaligrafi dan kesenian Islam.

    Dengan adanya kehadiran pakar-pakar dari luar dan dalam negara, ianya dilihat sebagai peluang dan ruang juga bagi melibat samakan pelajar-pelajar dan orang awam secara amnya yang sedang bergiat aktif dalam mempelajari seni khat kaligrafi Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda