PARIS, APRIL, 29 APRIL – Manchester City berada di kedudukan yang baik untuk mara ke final Liga Juara-Juara selepas berjaya bangkit untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Paris semalam, dengan sepakan percuma Riyad Mahrez melengkungkan bola ke gawang lawan memberikan kemenangan City.
Marquinhos memberi kelebihan awal dengan meletakkan PSG di depan di awal perlawanan menerusi tandukan kuat di Stadium Parc des Princes.
Bagaimanapun pemain perancang City, Kevin De Bruyne berjaya menyamakan kedudukan apabila hantaran lintangnya yang menarik berjaya menewaskan Keylor Navas pada minit ke-60 dan Mahrez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71 yang memberikan semangat kepada City untuk terus bangkit, sekali gus memberikan kelebihan kepada Pep Guardiola ketika kembali di Manchester Selasa depan.
“Pada 10 minit terakhir separuh masa pertama cukup baik dan separuh masa kedua amat cemerlang di semua bahagian. Kami menjaringkan dua gol di tempat lawan yang amat penting sekali, tetapi tugas sukar menanti kami dalam tempoh enam hari,” kata Guardiola kepada BT Sport.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan tetapi kita masih di pertengahan. Masih ada 90 minit untuk menewaskan mereka dan PSG adalah pasukan yang mampu melakukan apa saja.”

Selepas bermula baik, PSG terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Idrissa Gana Gueye dilayangkan kad merah pada minit ke-77 kerana mengasari Ilkay Gundogan.
PSG sebelum ini gagal menang di laman sendiri berdepan Manchester United, Barcelona dan Bayern di Liga Juara-Juara musim ini, PSG menghadapi perjuangan yang sukar di England jika mereka mara ke final untuk tahun kedua berturut-turut.
Maka, ini adalah pertarungan Emirate-City melawan PSG milik Qatar.
“Kami bolos dua gol sangat merugikan,” kata Marquinhos kepada penyiar RMC Sport.
Mengenai perlawanan pusingan kedua, beliau menambah: “Tidak ada gunanya kita pergi ke sana jika kita tidak percaya kita dapat menterbalikkanya.”
City mengintai final Liga Juara-Juara yang pertama dan ini adalah penampilan pertama mereka di separuh akhir sejak 2016, ketika mereka mengalahkan PSG dalam suku akhir. – AFP