SINGAPURA, 4 OKT – Satu kajian mendapati warga Singapura sebahagian besarnya mengiktiraf kepentingan pemakanan yang sihat, tetapi kebanyakannya tidak memahami apa itu makanan seimbang.
Kajian juga mendapati bahawa sesetengah ibu bapa sanggup menukar makan yang lazat dan senang disediakan untuk anak-anak supaya anak-anak cukup makan dan waktu makan berjalan lancar dan tidak menjadi menyusahkan.
Ini adalah antara penemuan dalam tinjauan nasional terhadap 1,000 responden berumur 18 hingga 60 tahun yang dijalankan oleh FairPrice Group (FPG) pada April.
Kajian yang melibatkan tinjauan dalam talian serta lawatan ke rumah responden mendapati lebih daripada empat daripada lima bersetuju bahawa makanan yang sihat adalah makanan yang seimbang.
Bilangan yang sama juga berkata bahawa memastikan anak-anak mereka mengekalkan diet berkhasiat adalah kebimbangan terbesar mereka.
Namun hanya 23 peratus daripada responden mengatakan bahawa makanan seimbang memerlukan buah-buahan dan sayur-sayuran, protein dan karbohidrat, kata FPG ketika mengumumkan dapatan kajian yang dijalankan oleh NielsenIQ kelmarin.
Tujuh daripada 10 ibu bapa berkata rasa makanan adalah faktor penentu untuk membuat hidangan yang enak supaya anak-anak tidak cerewet dan cukup makan adalah keutamaan mereka.
Oleh itu, responden berkata memberi anak-anak makanan yang mereka suka seperti nugget, sosej dan kentang goreng akan membantu mereka menghabiskan makanan mereka dengan senang.
Empat dalam 10 hidangan yang disediakan ibu bapa dalam seminggu mempunyai makanan yang diproses atau makanan dalam tin, tanpa mengira tahap pendapatan isi rumah, kajian itu mendapati.
Penemuan itu menunjukkan wujud kekeliruan dalam pemakan seimbang antara ibu bapa yang mahukan pemakanan lengkap berkhasiat atau anak-anak mahukan rasa lazat, kata ketua eksekutif kumpulan FPG, Vipul Chawla.
“Kadang-kadang kepercayaan adalah bahawa kedua-duanya tidak boleh sepadan. Ia memberitahu kita bahawa terdapat beberapa jurang asas dalam pemahaman mengenai pemakanan,” katanya.
Untuk menangani kekeliruan antara pemakanan sihat dan rasa tersebut, terutamanya untuk keluarga yang memerlukan, FPG melancarkan yang disifatkannya sebagai kempen derma makanan terbesar di Singapura kelmarin.
Kempen itu akan menyaksikan Yayasan FairPrice memadankan setiap ringgit yang diterima melaui derma awam sehingga sejumlah $1 juta untuk menyediakan 10 rakan kongsi amal dengan barangan runcit dan makanan berkhasiat.
Organisasi itu bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk membeli barangan makanan yang lebih sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar, ayam sejuk beku dan beras perang.
Kajian FPG itu juga mendapati bahawa penerima program sumbangan makanan yang ditinjau lebih mengutamakan protein, makanan ruji, buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding makanan dalam tin yang diproses.
Ini menunjukkan bahawa rakyat Singapura sedar tentang nilai pemakanan makanan sejuk beku yang segar – yang mana disejukkan sebaik sahaja dituai – adalah sumber pemakanan yang baik.
Ketua eksekutif Food from the Heart, Robin Lee menyatakan bahawa sumbangan makanan biasanya terhad kepada makanan ruji pantri kering seperti nasi dan mi, minuman segera, biskut dan makanan dalam tin kerana ini mempunyai jangka hayat yang lebih lama.
Beliau mengalu-alukan kempen FPG berkenaan untuk mengutamakan makan berkhasiat. “Kami telah mencapai tahap di mana kami benar-benar perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan nutrisi makanan,” kata Encik Lee.
Untuk meningkatkan kesedaran pemakanan dari usia yang lebih muda, FPG juga telah melancarkan satu program khas untuk kanak-kanak prasekolah pada bulan lepas, kata Encik Chawla.
Program berkenaan mengajar kanak-kanak tentang kemahiran seperti membaca label pemakanan dan membuat pilihan bijak semasa membeli barangan dapur di pasar raya FairPrice. – ANN/The Straits Times