Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mainkan peranan menyumbang kepada masyarakat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – COVID-19 telah membuktikan kepada kita semua bahawa sukarelawan ialah perawatnya yang setia, yang menatang kita ibarat sebuah keluarga, tanpa jemu dan leka.

    Dalam mengharungi episod duka ini, keringat sukarelawan barisan hadapanlah yang telah sama-sama membantu semua agensi terutama dalam memastikan COVID-19 tidak menular.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar bawah) dalam perutusan sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023, hari ini.

    Mengulas tema sambutan tahun ini, Andai Semua Orang Melakukannya, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia memfokuskan kepada usaha-usaha serta tindakan secara kolektif oleh semua lapisan masyarakat.

    Tema ini, jelas beliau lagi, adalah bertepatan dengan inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Kempen Hari Bertindak (DoA) yang diungkayahkan oleh kementerian dan ia merupakan maraton kerja-kerja sukarelawan sempena dengan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa.

    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Dalam hal ini, bagi meningkatkan kesedaran berkaitan budaya kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat Brunei terutamanya kepada golongan belia, KKBS telah mewujudkan platform DoA bagi memberikan kesedaran dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam program atau aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan melibatkan semua lapisan masyarakat daripada kalangan masyarakat Brunei.

    Yang Berhormat Dato menambah, DoA mula dilaksanakan pada 2016 sebagai salah satu inisiatif negara dalam meraikan serta menyemarakkan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa. Sehingga 2022, kempen berkenaan telah berjaya menghimpunkan lebih 3,000 orang sukarelawan melalui pelaksanaan lebih 200 aktiviti.

    “Tema Andai Semua Orang Melakukannya dilihat bukan hanya sekadar tema semata-mata tetapi ia merupakan seruan kepada semua lapisan masyarakat untuk mula memainkan peranan masing-masing.

    Oleh itu, marilah kita sama-sama mempertingkatkan semangat menyumbang kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan, meluangkan masa serta tenaga dengan semangat memberi dan tidak mengharapkan balasan,” tekannya.

    Beliau turut mengongsikan, bahawa lebih 40 aktiviti telah pun dilaksanakan pada November dan awal Disember lalu.

    “Alhamdulillah pada tahun ini sebanyak 95 aktiviti sukarelawan telah didaftarkan di bawah DoA,” jelasnya.

    Di akhir perutusan, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pada tahun ini, KKBS melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam turut mengalu-alukan kehadiran sembilan orang sukarelawan dari negara-negara ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam bagi menyertai Program Sukarelawan ASEAN yang bertemakan Sukarelawan ASEAN: Pengurangan dan Kesediaan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda