Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Mainoo penyelamat United

    LONDON, 2 FEB – Kobbie Mainoo mencetak gol penentu pada minit ke-97 ketika Manchester United merampas kemenangan dramatik 4-3 ke atas Wolves kelmarin selepas mensia-siakan kelebihan dua gol.

    Kepulangan Marcus Rashford sebagai penjaring gol, beberapa hari selepas didenda kerana tidak menghadiri latihan selepas keluar malam, nampaknya bakal menjadi tajuk berita utama ketika United mendahului 2-0.

    Scott McTominay memulihkan kedudukan selesa dua gol pelawat selepas penalti Pablo Sarabia mengembalikan Wolves dalam permainan.

    Tetapi pasukan tuan rumah kelihatan telah meraih satu mata apabila Max Kilman dan Pedro Neto menjaringkan gol pada saat-saat akhir.

    Bagaimanapun, Mainoo yang berusia 18 tahun memberikan satu sentuhan terakhir dengan larian dan percubaan solo yang cemerlang dalam persembahan terkini mengenai potensinya sebagai bintang yang semakin meningkat.

    Ten Hag menyatakan bahawa prestasi buruk pasukannya pada musim ini adalah akibat krisis kecederaan dan prestasi Red Devils bertambah baik dengan kehadiran semula Shaw, Lisandro Martinez dan Casemiro ke pasukan tersebut buat kali pertama dalam beberapa bulan.

    Anak buah Ten Hag boleh mara ke enam teratas pada Ahad apabila mereka menjadi tuan rumah kepada West Ham selepas The Hammers terikat 1-1 di tempat sendiri menentang Bournemouth.

    “Ia adalah sangat penting untuk kami menang. Perlawanan ini mempunyai banyak aspek,” tambah Ten Hag.

    “Kami bermain dengan amat baik dan mengawal permainan selama sejam. Kami sepatutnya menjadikan kedudukan 4-0, kami tidak melakukannya dan akhirnya adalah agak naif dalam cara kami kehilangan gol. Kami kemudian menunjukkan ketabahan, terutamanya Kobbie Mainoo.” – AFP

    Aksi Rasmus Hojlund (kiri), bersaing dengan Tommy Doyle semasa perlawanan antara Wolverhampton Wanderers dan Manchester United di stadium Molineux di Wolverhampton, tengah England pada 1 Februari 2024. – AFP
    Pemain berusia 18 tahun itu menyelamatkan Manchester United dalam aksi tujuh gol yang mendebarkan di Wolves. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...