BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Lima kesalahan telah ditemui oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh ketika menjalankan Operasi Waspada 125/2025 ke atas kegiatan klinik swasta di Kampung Delima Satu pada 25 Jun lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Buruh, pemeriksaan tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Kesalahan-kesalahan yang ditemui di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu Bab 10 pekerja tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 64 bekerja pada hari kelepasan awam, Bab 70 majikan gagal memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan iaitu cuti sakit berbayar hanya diberikan tujuh hari sahaja dalam satu tahun perkhidmatan pekerja yang mana sepatutnya 14 hari dan Bab 91, majikan gagal membayar penuh hak cuti bersalin mengikut peraturan yang telah ditetapkan di mana pekerja wanita tempatan yang sewaktu dalam cuti bersalin hanya dibayar dan diberikan 90 hari cuti sahaja daripada hak cuti bersalin tersebut.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
