Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Majikan dikompaun lakukan 9 kesalahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Sebanyak sembilan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 yang dilakukan oleh majikan telah didapati semasa pemeriksaan yang dijalankan di sebuah restoran di kawasan Kampung Sungai Tilong, baru-baru ini.

    Pemeriksaan tersebut dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh di bawah Operasi Siaga 128/2024, yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Antara kesalahan-kesalahan yang didapati ialah Bab 39(2) Majikan gagal membayar gaji kerja lebih masa; Bab 44 Membuat pemotongan gaji yang bertentangan dengan Perintah Pekerjaan 2009; Bab 63 Gagal memberikan cuti rehat; Bab 64 Bekerja pada hari rehat; Bab 65 Memberikan pekerjaan melebihi jam bekerja yang ditetapkan.

    Seterusnya kesalahan Bab 70 Gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan; Bab 71 Gagal memberikan cuti tahunan; Bab 72 Gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan; dan Bab 112(2) Kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing yang mana pekerja asing yang berjawatan sebagai pelayan didapati melakukan pekerjaan sebagai juruwang dan pembuat minuman.

    Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut.

    Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataan akhbarnya ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti membayar gaji kerja lebih masa, memberikan cuti rehat sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang telah diwartakan, memberikan cuti tahunan, memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan dan tidak menyalahgunakan syarat-syarat Lesen Pekerja Asing.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    Pemeriksaan yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh semasa Operasi Siaga 128/2024, baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...