Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majikan diseru mudahkan arahan kuarantin

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Kementerian Kesihatan memohon kerjasama orang ramai khususnya majikan-majikan di sektor swasta untuk mempermudah langkah-langkah pengawalan COVID-19 terutamanya mengenai arahan pengasingan diri atau kuarantin yang diberikan kepada kakitangan mereka.

    “Pertimbangan para majikan adalah sangat diperlukan khusus untuk tidak mengambil tempoh pengasingan diri atau kuarantin daripada jumlah cuti tahunan yang layak bagi kakitangan berkenaan atau memaksa kakitangan mendapatkan surat cuti sakit daripada doktor.
    “Notis Pengasingan Diri atau Perintah Kuarantin yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan adalah pengesahan rasmi mengenai arahan-arahan yang telah diberikan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Dalam hubungan itu, beliau menekankan bahawa sokongan majikan-majikan sangat diharapkan dalam usaha kerajaan dan negara membendung penularan wabak berkenaan.

    Beliau mengingatkan orang-orang yang menjalani kuarantin atau pengasingan diri untuk mematuhi arahan-arahan yang telah diberikan. “Mereka ini tidak dibenarkan meninggalkan rumah atau tempat kuarantin atau tempat pengasingan diri di sepanjang tempoh yang telah diarahkan.”

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, kegagalan mematuhi arahan-arahan berkenaan, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga $10,000 atau penjara selama 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai mengenai pengemaskinian langkah-langkah pengawalan COVID-19 di mana kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan hendaklah melaksanakan Business Continuity Plan masing-masing, sebagaimana yang digariskan dalam surat keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2020 bertarikh 16 Mac 2020.

    Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa satu platform elektronik menggunakan aplikasi mudah alih (messaging application) Telegram bagi mengongsi mesej dan nasihat Kementerian Kesihatan mengenai COVID-19 telah diusahakan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan serta Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Aplikasi mudah alih boleh digunakan bermula 18 Mac menerusi Telegram GOV.BN Rasmi Kerajaan, https://t.me/govbnofficial. Sementara itu, Yang Berhormat Dato, menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi penghantaran mesej pesanan ringkas (iaitu Push SMS) akan dikeluarkan kepada semua pengguna telefon bimbit mengenai nasihat-nasihat COVID-19, bermula 18 Mac.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menerangkan mengenai isu kuarantin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda