BANDAR KUWAIT, 31 Mac – Polis Kuwait telah menahan seorang wanita kerana memfilemkan pembantu rumahnya warga Etiopia, jatuh dari tingkat tujuh yang kelihatannya satu percubaan bunuh diri tanpa cuba untuk menyelamatkannya, kata media dan hak kumpulan asasi hari ini.
Wanita Kuwait itu merakamkan video pembantu rumahnya gugur di atas sengkuap besi dan terselamat, selepas itu menyiarkan insiden tersebut dalam media sosial, lapor akhbar Al-Seyassah.
Video berdurasi 12 saat itu menunjukkan pembantu rumah itu tergantung di luar bangunan tersebut, dengan satu tangannya memegang bingkai tingkap, ketika dia meminta pertolongan yang jelasnya berubah fikiran di saat-saat akhir.
Wanita yang memegang kamera itu menjerit kepada pembantu rumah yang tergantung itu: “Oi gila, mari ke sini.”
Pembantu rumah yang ketakutan itu menjerit ‘pegang tangan saya’, namun terlepas dan terjatuh ke atas bumbung tambahan, yang kelihatannya mengurangkan impak kejatuhannya.
Majikannya yang tidak menunjukkan reaksi mengenai hal itu terus memfilemkan adegan tersebut.
Kemudian, paramedik menyelamatkan pembantu rumah tersebut dan mengejarkannya ke hospital di mana dia didapati mengalami kecederaan di hidung dan telinga serta patah tangan, menurut akhbar berkenaan.
Polis siasatan jenayah merujuk kes majikannya kepada pendakwaan kerana gagal untuk membantu mangsa, menurut akhbar harian itu.
Punca percubaan bunuh diri pembantu rumah itu tidak didedahkan. – AFP