BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Jabatan Buruh melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang telah melaksanakan Operasi Waspada 108/2025 di kawasan Kampung Pengkalan Gadong pada 3 Jun lalu.
Operasi itu bertujuan untuk menguatkuasakan serta memastikan pematuhan terhadap Akta Pekerjaan, Penggal 278 oleh pihak majikan.
Pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah syarikat pembekal barangan elektrik rumah dan industri telah mendapati tujuh kesalahan di bawah Akta Pekerjaan yang dipercayai dilakukan oleh pihak majikan. Antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis kepada pekerja (Bab 10), melakukan pemotongan gaji yang tidak dibenarkan oleh undang-undang (Bab 44), gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang telah diwartakan (Bab 70), gagal memberikan cuti tahunan (Bab 71), tidak memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan (Bab 72), tidak menyediakan kelengkapan pertolongan cemas di tempat kerja (Bab 82), serta gagal membayar gaji kepada pekerja wanita sepanjang tempoh cuti bersalin sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang (Bab 91).
Kesemua kesalahan itu kini dalam siasatan lanjut dan jika disabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 bagi setiap kesalahan. Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.



