BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh telah mengendalikan Operasi Siaga 24/2024 pada 7 Februari lalu bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan yang telah dijalankan di kawasan Kampung Sungai Besar telah mendapati dua kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan iaitu kesalahan di bawah Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Buruh yang mana sebuah syarikat didapati menggaji seorang pekerja asing bukan di bawah jaminan syarikat berkenaan dan kesalahan Bab 112(2) iaitu seorang pekerja asing berjawatan server didapati melakukan pekerjaan sebagai juruwang dan pembuat minuman.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya. Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 pada luar waktu bekerja.


