Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sebuah majlis apresiasi telah diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Majlis Sambutan Hari Raya Kampung Menunggol, terdiri daripada ahli majlis perundingan kampung (MPK) serta penduduk kampung, atas komitmen dan kerjasama mereka dalam menjayakan majlis sambutan yang lalu.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram; Ketua Kampung Menunggol, Haji Ibrahim bin Haji Osman, serta ketua-ketua kampung dari Mukim Kota Batu.
Majlis berkenaan juga bertujuan memberikan suntikan motivasi dan semangat kepada para ahli jawatankuasa agar terus kekal komited dan bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan majlis seumpamanya pada masa akan datang.
Acara yang berlangsung di salah sebuah restoran di ibu negara itu turut diserikan dengan acara cabutan nombor bertuah sebagai tanda penghargaan kepada para hadirin.
