Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Bagi meraikan para ucaptama serta jemputan sempena Persidangan Antarabangsa Islam Di Alam Melayu kali ke-14 (ICON IMAD XIV) 2025, satu majlis apresiasi telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Profesor Dato Dr Mohd Fakhruddin bin Mokti selaku Pengerusi ICON IMAD XIV 2025, yang antara lain menyentuh mengenai kejayaan penganjuran persidangan berkenaan serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Antara pengisian majlis termasuklah penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang Kertas Kerja Terbaik dan Pembentang Terbaik ICON IMAD XIV 2025.
Kategori Kertas Kerja Terbaik Bahasa Melayu telah dimenangi oleh Siti Zubaidah Ismail, Najaruddin Nedri dan Muhammad Nuur Iman Suip dari Universiti Malaya (UM), Malaysia, menerusi tajuk Pemakaian Kecerdasan Buatan (AI) dalam Perundangan Syariah Sarawak: Ke Arah Sistem Kehakiman Islam yang Lebih Efisien dan Berintegriti.


Manakala Kertas Kerja Terbaik Bahasa Inggeris dimenangi oleh Lis Rosilah, Ayi M Sirojuddin, Dima Noor Ziehad, Hasbiyallah dan Dedi Sulaeman dari Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD) Bandung, Indonesia menerusi tajuk Balancing AI, Mental Health and Islamic Value Education: Pillars of Future Learning in the AI Era.
Sementara itu, Kertas Kerja Terbaik Bahasa Arab dimenangi oleh Pensyarah UNISSA, Dr Ali Ali Hussein Ghazwan menerusi tajuk Fatwa Digital di Zaman Kecerdasan Buatan: Memperbaharui Wacana Agama atau Mengecualikan Kandungan.
Di samping itu, Kategori Pembentang Terbaik Melayu dimenangi oleh Dr Hajah Masuriyati Haji Yahya dari UNISSA dengan tajuk Martabat Keilmuan Islam dan Ilmu Islam Dalam Arus Teknologi Kecerdasan Buatan (AI): Cabaran dan Penyelesaian.
Sementara Pembentang Terbaik Bahasa Inggeris dimenangi oleh Aris Hassama dari Prince of Songkla University, Thailand, bertajuk At the Crossroads of Wisdom: Islamic Sciences Students’ Reflection of AI in Educational Journey dan Pembentang Terbaik Bahasa Arab dimenangi oleh Dr Abdul Wahab Mahyoub dari UM, Malaysia dengan tajuk Ilmu Melayu Islam Dalam Cahaya Transformasi Kepintaran Buatan: Pembacaan Bertamadun dan Objektif.
Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan kepengerusian ICON IMAD XV yang disampaikan oleh Pengerusi ICON IMAD XIV 2025, Profesor Dato Dr Mohd Fakhruddin kepada wakil tuan rumah seterusnya iaitu UIN SGD Bandung, Indonesia.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah tetamu-tetamu khas dari dalam dan luar negara, penaja-penaja, pegawai-pegawai utama UNISSA serta para peserta persidangan.

