Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis bacaan doa akhir, awal tahun Hijrah 26 Jun ini

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Negara Brunei Darussalam akan menyambut ketibaan Awal Tahun 1447 Hijrah dengan Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1447 Peringkat Negara sempena memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah.

    Majlis akan diadakan pada Khamis malam Jumaat, 1 Muharram 1447 Hijrah bersamaan 26 Jun, bermula pada jam 5 petang di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh ne-gara, dengan tumpuan utama di empat lokasi utama iaitu di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.

    Antara pengisian utama majlis termasuk bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah dan Doa Awal Tahun Hijrah, sebagai simbolik permulaan tahun baharu dalam kalender Islam.

    Majlis dianjurkan dengan kerjasama antara Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

    Tema sambutan Awal Tahun Hijrah 1447 kali ini Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan menekankan aspirasi ke arah pembentukan masyarakat berdaya tahan dan cemerlang secara berterusan dalam kerangka nilai-nilai Islam.

    Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke masjid, surau dan balai ibadat untuk bersama-sama menyertai majlis yang penuh keberkatan ini.

    GAMBAR FAIL RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda