Monday, February 24, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis BDAIDS anjur taklimat sebar bahaya HIV

    Oleh: Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sebagai sebahagian daripada aktiviti taklimat sebelum pelayaran mereka, rakan-rakan akademik dari Inisiatif Pemimpin Belia Asia Tengara (YSEALI) telah mengambil bahagian dalam Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (H.A.P.P.Y) yang dilaksanakan oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) baru-baru ini.

    Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (H.A.P.P.Y) merupakan sebuah projek yang menggabungkan audio, visual dan aktiviti interaktif diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) di kalangan remaja dan belia.

    Sesi berkenaan telah diketuai oleh Penyelaras Projek H.A.P.P.Y, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dengan sokongan daripada sukarelawan daripada BDAIDS Council.

    Semasa sesi berkenaan, Dayang Siti Kailene menekankan pentingnya untuk memahami mengenai HIV termasuk bagaimana virus itu merebak dan bagaimana ia boleh dicegah selain memberi maklumat untuk menepis mitos dan salah faham yang sering dihadapi oleh golongan muda.

    Di samping itu, beliau turut menyentuh mengenai kebimbangan yang meningkat berhubung dengan kehamilan remaja dan menerangkan mengenai kesan fizikal, emosi dan sosial kepada kehidupan golongan muda serta menekankan pentingnya untuk membuat keputusan yang bermaklumat dan mengetahui bagaimana untuk menetapkan sempadan yang sihat dalam perhubungan untuk mencegah daripada kehamilan tidak dirancang serta melindungi kesihatan mereka.

    Sesi itu turut mengetengahkan statistik tempatan berkaitan dengan HIV di Brunei, menggariskan keperluan bagi kesedaran dan pendidikan yang lebih mendalam. BDAIDS Council berharap bahawa para peserta program akan membawa pulang maklumat yang berguna daripada sesi berkenaan untuk dimanfaatkan mereka bagi membuat keputusan yang bijak serta berkongsi ilmu pengetahuan mereka dengan keluarga dan rakan-rakan sebaya.

    Dayang Siti Kailene dan sukarelawan BDAIDS Council semasa menyampaikan taklimat berkenaan.- GAMBAR SERAHAN BDAIDS COUNCIL 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda