Oleh Daniel Lim
BELAIT, 13 APRIL – Meskipun kini bulan Ramadan semakin hampir di penghujungnya, namun ia bukanlah menjadi sebab perpisahan antara keluarga dan rakan untuk tidak dapat berkumpul menikmati juadah berbuka bersama lagi dek kerana sibuk untuk persiapan menyambut kedatangan Syawal.
Suasana kemesraan berbuka ini dapat dilihat baru-baru ini apabila seramai 28 ahli Kumpulan Persahabatan 80an mengadakan pertemuan semula dalam menyerikan suasana majlis berbuka puasa pada 11 April lalu di Sungai Taring, Lumut sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia.
Adapun antara tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi membantu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakan-rakan silam yang telah bersama sejak sekolah rendah di sekitar kawasan Seria.
Majlis tersebut menyaksikan pertemuan kumpulan persahabatan 80an berkenaan mengambil bahagian dalam bacaan Tahlil dan Doa Arwah diikuti dengan majlis berbuka puasa lewat petang itu.
Tahun ini merupakan kali kedua kumpulan itu mengadakan majlis berbuka seumpamanya.