Saturday, April 19, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis berbuka puasa ceriakan anak-anak yatim

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial Ramadannya, Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-anak Yatim yang berlangsung di Serambi Batil, Tarindak d’Seni, kelmarin.

    Ramadan merupakan bulan yang menggalakkan muhasabah diri, belas kasihan dan kemurahan hati iaitu nilai-nilai yang berkait rapat dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat BSM untuk memupuk hubungan yang kukuh dengan masyarakat.

    Selaras dengan ajaran Islam yang menekankan kebajikan anak yatim dan mereka yang memerlukan, BSM tetap berdedikasi untuk menyokong inisiatif yang menggalakkan perpaduan, kebaikan dan kesejahteraan sosial.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Eksekutif Runcit BSM, Norasman Suleiman, diikuti dengan penyampaian sumbangan oleh Pengarah Urusan BSM, Kapten Mohammed Alexirwan bin Haji Omar kepada 100 orang anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Sebelum majlis berbuka puasa, Haji Mohd Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan daripada Al-Huffaz Management telah menyampaikan ceramah bertajuk Menyemai Kasih, Menuai Berkat.

    Ceramah itu menekankan pentingnya perasaan belas kasihan dan memberi dengan mengetengahkan bagaimana perbuatan baik hati yang kecil boleh menjana kesan yang berkekalan.

    Ia juga menggariskan barakah yang wujud apabila menyokong mereka yang memerlukan selaras dengan nilai-nilai Islam dan tanggungjawab sosial korporat.

    BSM berharap sumbangan derma yang dihulurkan itu akan memberikan sokongan bermakna kepada para penerima dan keluaga mereka serta membawa keriangan kepada mereka pada bulan mulia ini.

    Melalui program Pelaburan Sosial seperti ini, BSM terus komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta bergerak ke hadapan bersama-sama.

    Kapten Mohammed Alexirwan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Norasman Suleiman dan Kapten Mohammed Alexirwan bergambar ramai bersama anak-anak yatim yang diraikan pada majlis berbuka puasa. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda