Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Dalam mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di antara ahli-ahlinya, Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS) telah mengadakan Majlis Sembahyang Tarawih dan Berbuka Puasa Tahunan yang berlangsung di Surau Pusat Promosi Kesihatan, kelmarin.
Majlis bagi memperingati Ramadan berkenaan dihadiri oleh Presiden Majlis BDAIDS, Awang Iswandy bin Ahmad bersama-sama ahli-ahli majlis, Jawatankuasa Penyinar, kelab belia Majlis BDAIDS dan kelab belia Jawatankuasa Penyinar.
Acara dimulakan dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai dan diikuti dengan sembahyang Fardu Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang diketuai oleh ahli Jawatankuasa Penyinar, Awang Afif Qawiem bin Ibrahim.
Majlis itu bermatlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli serta untuk mempromosikan rasa rohani yang rapat kepada Allah SWT pada bulan yang penuh berkat.
BDAC ialah sebuah persatuan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2000 dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS di Negara Brunei Darussalam serta mendidik masyarakat mengenai isu-isu berkaitan jangkitan seksual (STI), kehamilan tidak dirancang serta pelbagai isu sosial.
