Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Kumpulan Syarikat Concepts telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Tahunan yang berlangsung di salah sebuah restoran di kiulap, hari ini, sebagai usaha untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pihak pengurusan, kakitangan dan rakan-rakan serta meraikan bulan Ramadan.
Pada majlis itu, lebih 70 jemputan telah dialu-alukan oleh Pengurus Besar Kumpulan Syarikat Concepts, Vincent Pao bersama isteri, Alice Chan, di mana jemputan terdiri daripada kakitangan di bawah kumpulan syarikat berkenaan termasuk Concepts Computer, Concepts Technologies, Bilster Technologies dan jemputan khas yang lain.
Mengulas mengenai acara itu, Vincent Poa menyatakan bahawa ia sudah menjadi tradisi tahunan syarikat serta telah diadakan lebih 21 tahun.
Beliau menambah hampir 100 peratus kakitangan syarikatnya adalah warga tempatan yang beragama Islam dan ia memberikan peluang kepada mereka untuk berkumpul dan sama-sama meraikan serta menjiwai erti sebenar bulan Ramadan.
Vincent berkata lagi kekuatan mereka sebagai sebuah syarikat lahir daripada hubungan erat antara kakitangan dan pelanggan setia mereka.
