Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Berselawat tanda penutupan Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Bagi menandakan penutupan Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW yang telah dibuka sepanjang bulan Rabiulawal 1446 Hijrah, Majlis Berselawat telah diadakan petang tadi di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

    Hadir selaku jemputan khas ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.

    Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, selaku Ketua Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.

    Turut hadir ialah setiausaha dan timbalan setiausaha tetap dari JPM, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Kementerian Pembangunan; serta pengarah dan ketua jabatan dari JPM, Jabatan Muzium-muzium, Pusat Sejarah Brunei dan Jabatan Mufti Kerajaan, selaku ahli-ahli Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.

    Majlis dimulakan dengan bacaan dikir yang dipimpin oleh pelajar-pelajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan disudahi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan, tahun ini merupakan kali pertama Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW dibukakan sepanjang bulan Rabiulawal kepada orang ramai dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

    Seramai 3,769 pengunjung telah direkodkan untuk menyaksikan sendiri dan mengambil peluang berselawat dekat dengan rambut mulia Rasulullah SAW di Galeri 3 sepanjang tempoh pembukaan bilik tersebut.

    Tempahan bagi sesi berselawat di dalam bilik tersebut telah dibukakan secara dalam talian dan mencatatkan seramai 938 orang peserta yang telah hadir bagi menyemarakkan bulan kelahiran junjungan besar kita dengan pelbagai jenis dikir dan bentuk selawat termasuk Dikir Syarafil Anam, Selawat Ibrahimiyah, Selawat Tafrijiyah, Selawat Munjiyat, Selawat Fatih, Selawat Syifa, Selawat Nur, Selawat Badariyyah, Maulid Diba’ie, dan lainnya.

    Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW seterusnya akan dibukakan lagi pada Januari 2025 selama tiga hari sempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza dan Dato Seri Paduka Haji Sufian hadir selaku jemputan khas. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda