Monday, March 10, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis bertadarus bulan Ramadan diteruskan

    Oleh Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, beberapa kementerian dan jabatan telah meraih kesempatan untuk menambah pahala melalui bertadarus di beberapa masjid di negara ini.

    Majlis Bertadarus Bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi diteruskan lagi di Surau, Istana Nurul Iman, malam kelmarin.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Acara dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak, Sunat Tarawih berjemaah dan doa dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Haji Awang Emran bin Haji Kunchang.

    Majlis diteruskan dengan tazkirah bertajuk Fadhilat Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew hadir pada majlis tadarus di Istana Nurul Iman, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir pada majlis yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim memimpin bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis tadarus di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Antara yang hadir pada majlis tadarus baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Awang Abdul Walid menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim pada majlis yang berlangsung di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Seria. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Dr Haji Azman menyampaikan wakaf kepada Awang Mohd Amirul Rahmad pada majlis bertempat di Masjid Kampung Perpindahan Serasa. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Tazkirah bagi jemaah lelaki disampaikan oleh Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang dan bagi jemaah perempuan disampaikan oleh Dayang Nurhuwaina binti Mahmud.

    Acara disusuli bacaan tadarus Al-Quran dan berakhir dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya juga telah mengadakan Program Bertadarus Al-Quran di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong, kelmarin.

    Program kendalian Pusat Sejarah Brunei dan Jabatan Muzium-muzium dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong itu dimulakan dengan bacaan Surah A-Fatihah secara beramai-ramai yang diketuai oleh
    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Seterusnya, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir didahului oleh Imam Tingkat I, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, disusuli dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar.

    Program itu diteruskan lagi dengan berbuka puasa dan diakhiri dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Manakala rombongan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) turut mengadakan majlis tadarus di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan taddabur Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Samali bin Haji Adam.

    Acara diteruskan dengan tadarus Al-Quran dan disusuli dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) di Daerah Belait juga mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ)Lorong 3 Seria.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Majlis dimulakan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan wakaf yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

    Majlis diteruskan dengan bacaan tadarus Al-Quran, bacaan tahlil serta Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid STKRJ Lorong 3 Seria, Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim.

    Majlis yang sama juga diadakan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Khas dan Pusat Keusahawanan Inovasi di Masjid Kampung Perpindahan Serasa, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Zohor secara berjemaah, diikuti penyampaian sumbangan wakaf daripada Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Imam Tingkat III, Masjid Kampung Perpindahan Serasa, Awang Mohd Amirul Rahmad bin Haji Mohammad.

    Acara diteruskan dengan majlis bertadarus dan diakhiri dengan bacaan doa bagi memberkati majlis yang diketuai oleh imam masjid tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda