Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi bermula dengan majlis pembukaan di Surau, Istana Nurul Iman, di sini, malam tadi.
Hadir pada majlis itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Acara dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak dan Sunat Tarawih berjemaah. Manakala doa telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Haji Awang Mat Jaya bin Haji Ibrahim.
Majlis kemudian diikuti dengan tazkirah bertajuk Fadhilat Membaca Al-Quran yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Agama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Ahmad Muzhafar bin Marsidi bagi jemaah lelaki, sementara bagi jemaah perempuan pula disampaikan oleh Penguasa Dakwah dan Tabligh, PDI, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.
Majlis disusuli dengan bacaan tadarus Al-Quran bermula dari Surah Al-Baqarah dan seterusnya ditutup dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir, pegawai dan kakitangan dari ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pegawai dan guru agama.