Oleh Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Dalam meraih keberkatan berlipat ganda pada bulan Ramadan yang mulia ini, pelbagai pihak giat mengadakan majlis keagamaan seperti majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Majlis berkenaan khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Antara yang mengadakan majlis seumpamanya pada hari ini ialah pegawai dan kakitangan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi menyertai majlis tersebut ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin.
Turut hadir ialah Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Dato Paduka Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Dato Paduka Haji Rosli bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh serta pegawai dan kakitangan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
‘Secara berasingan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd juga telah mengadakan majlis serupa.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB serta pegawai-pegawai lelaki dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.
Lebih 200 orang warga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya menghadiri majlis tersebut.



