Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-33, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Majlis keagamaan itu khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dihadiri oleh kira-kira 300 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan, pegawai termasuk guru-guru dari institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU.
Bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Saufi bin Haji Suhaini, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.
Turut hadir Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh serta ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan KHEU dan Kementerian
Pendidikan.
