Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Pelbagai pihak di negara ini terus memperingati peristiwa Israk dan Mikraj dengan majlis-majlis sambutan yang diisikan dengan ceramah khas.
Antara yang mengadakan majlis seumpamanya adalah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Setia Pahlawan, kementerian berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, selaku Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis kali ini yang diselenggarakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan disemarakkan dengan ceramah khas bertajuk Kenapa Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pengasas Syarikat Sofwah, Awang Muhamad Waqiyuddin Fakhri bin Haji Damit.
Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di KSSUP, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) juga mengadakan majlis ceramah yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai olah Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Israk, ayat 1 oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid yang merupakan johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1444/2023 Peringkat Akhir.
Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk Israk dan Mikraj: Mukjizat Agung untuk Insan Pilihan yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Menghindari Wabak COVID-19 oleh Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Manakala itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pula telah mengadakan majlis ceramah bersempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj di Surau Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin berserta para pengarah, timbalan pengarah, para pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai kanan, anggota serta kakitangan PPDB.
Pada majlis itu, ceramah bertajuk Solat Tiang Agama disampaikan oleh Penolong Pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang antara lain menyeru supaya belajar tentang rukun-rukun solat, memahami bacaan dalam solat, hadirkan diri untuk solat, jauhi was-was dalam solat dan sediakan tempat atau ruang di rumah bagi solat.
Majlis ceramah berkenaan dikelolakan oleh Badan Ugama Islam, PPDB.