Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf) telah mengungkayahkan Rombongan Dikir PDI bersama Mualaf, baru-baru ini.
Rombongan tersebut mengadakan majlis dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW malam tadi bertempat di Rumah Kegiatan Agama Kampung Bebuloh.
Hadir selaku ketua rombongan ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh ketua rombongan.
Acara diteruskan dengan tazkirah bertajuk Meneladani Rasulullah SAW dalam Adab dan Akhlak Seharian disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama (SkiPPA), PDI, Hajah Nur Farhanah binti Haji Sulaihe.





Antara intipati tazkirah yang disampaikan ialah meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, bermula dari saat Baginda bangun tidur, cara Baginda makan dan minum, hinggalah sebelum tidur.
Seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith, Huzaifah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa sebelum tidur, “Dengan nama Allah aku mati dan hidup”, dan ketika bangun tidur Baginda berdoa, “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan.” Akhlak ini wajar dijadikan panduan dan contoh teladan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian setiap Muslim.
Majlis malam tadi turut diserikan dengan Dikir Syarafil Anam, disusuli dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis diakhiri dengan sembahyang Fardhu Isyak berjemaah.
Aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf) itu antara lain bertujuan membimbing serta mengajak para mualaf memperbanyakkan selawat dan merebut kelebihan serta keutamaan berselawat di samping mencontohi keperibadian mulia Rasulullah SAW.
Selain itu, ia juga untuk meningkatkan penghayatan beragama serta kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam kalangan para mualaf di negara ini.

