Majlis dikir Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong berakhir

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Perkumpulan Wanita Majlis Perundingan Kampung Sengkurong B (PWMPKSB), semalam, telah mengadakan majlis penutup dikir sempena memperingati Sambutan Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Majlis berlangsung di kediaman Pengerusi perkumpulan berkenaan, Hajah Rukiah binti Haji Muhammad Yassin di Kampung Sengkurong B, Jalan Jerudong.

Sebelum ini, pembukaan Dikir Maulidur Rasul bagi perkumpulan itu telah diadakan di Balai Ibadat Baitul Mal, Kampung Selayun.

Majlis bertujuan untuk memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping menanamkan rasa kecintaan umat Islam kepada Baginda atas perjuangan dan pengorbanan Baginda dalam menyebarkan agama Islam seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli dan keluarga PWMPKSB.

Turut hadir pada majlis penutup dikir itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah binti Haji Yassin bersama penasihat-penasihat dan ahli PWMPKSB.

Perkumpulan Wanita Majlis Perundingan Kampung Sengkurong B ketika sesi bergambar ramai.