Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis dikir, persembahan rohani serikan masjid

    Oleh Yusrin Junaidi, Sim Y.H. & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Sambutan Maulidur Rasul bagi Tahun 2025 disemarakkan dengan pelbagai majlis dikir dan persembahan rohani yang memeriahkan masjid-masjid serta institusi di seluruh negara, menunjukkan kecintaan umat Islam terhadap junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

    Di Istana Nurul Iman, Majlis Dikir Maulud malam kesembilan berlangsung meriah dengan kehadiran jemaah lelaki dan wanita yang memenuhi surau-surau istana.

    Majlis di surau lelaki disertai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, pegawai, kakitangan serta para jemputan.

    Sementara itu, surau khas wanita turut dihadiri pegawai, kakitangan, ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) dan belia.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah, bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyertai Majlis Dikir Maulud malam kesembilan yang berlangsung di surau lelaki, Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin (lima dari kiri) turut menyertai majlis dikir anjuran MOFE. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    Pengiran Dr Mohamad Iskandar menghadiri Majlis Dikir Sempena Maulud Nabi Muhammad SAW yang berlangsung di Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Datin Hajah Nahriah hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Dikir Syarafil Anam yang diadakan di Masjid Kampung Kupang, Tutong. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Ceramah agama bertajuk Menghayati Sunnah Rasulullah dan Rasulullah SAW dalam Meneladani Keluarga Baginda disampaikan oleh pegawai dan tenaga pengajar agama sebelum diteruskan dengan persembahan dikir seperti Dikir Assalamualaika, Dikir Asyraqal, Dikir Khairuman, Dikir Bisyahrin, Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) serta jabatan-jabatan di dalamnya menganjurkan Majlis Persembahan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.

    Majlis kelmarin dihadiri Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, bersama pemangku Setiausaha Tetap, ketua jabatan, pegawai dan kakitangan MOFE.

    Persembahan dikir bertujuan menyemarakkan sambutan Maulud, mengenang jasa Rasulullah SAW dalam memperjuangkan syiar Islam serta menyuntik rasa kecintaan terhadap Baginda.

    Di Daerah Tutong, suasana kerohanian turut memeriahkan Masjid Kampung Kupang apabila ratusan Muslimah dari pelbagai Kelas Bimbingan Muslimah Masjid berkumpul bagi Majlis Dikir Syarafil Anam.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Ugama Daerah Tutong itu menampilkan tazkirah bertajuk Akhlak Nabi Muhammad SAW: Satu Teladan oleh Dayang Noorhazalina binti Mohiddin, selain persembahan dikir pelbagai masjid di Daerah Tutong.

    Doa Dikir dibacakan oleh Dayang Siti Nur Atiqah binti Haji Ismail manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Hajah Samsiah binti Haji Asmat.

    Sementara itu, Kementerian Pendidikan mengadakan majlis dikir di Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau, kelmarin.

    Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra hadir selaku tetamu kehormat.

    Majlis dimulakan dengan penyerahan sumbangan wakaf, diikuti solat Fardu Maghrib berjemaah dan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum Dikir Assalai. Majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Al-Hamdu selepas solat Isyak berjemaah dan diakhiri dengan Doa Penutup Majlis Dikir.

    Aktiviti tahunan itu bertujuan memeriahkan sambutan Maulidur Rasul serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dengan jemaah masjid.

    Kesemua majlis dikir ini bukan sahaja memupuk kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW, malah memperkukuh ukhuwah Islamiah kalangan masyarakat serta menegaskan peranan masjid sebagai pusat bimbingan rohani dan pembangunan masyarakat Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda