Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis dikir semarak Maulud Nabi

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Malam-malam menjelang Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1446 Hijrah disemarakkan dengan majlis-majlis dikir yang diadakan oleh pelbagai pihak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1446 Hijrah bertempat di Surau Polis Ibu Pejabat Polis Gadong, semalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambal.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin; Timbalan Penguasa Polis selaku Pengerusi Badan Ugama lslam (BUI) PPDB, Awang Muhammad Aimi Safwan bin Zalidin; pengarah-pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan anggota pangkat rendah PPDB.

    Kementerian Pertahanan turut mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Maulud secara serentak di semua surau garison, pangkalan, dan perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), termasuk di Masjid Pulau Baru-Baru, dengan tumpuan utama di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba, semalam.

    Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Surau Polis Ibu Pejabat Polis Gadong. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    Pemangku Pemerintah ABDB hadir pada majlis yang berlangsung di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba. – GAMBAR SERAHAN ABDB
    Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan semasa Majlis Pembukaan Dikir Maulud di Surau Al-Syafi’i, UNISSA. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    GAMBAR SERAHAN UNISSA
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Hadir di majlis itu ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Turut hadir ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama ABDB, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai, penghulu Mukim Gadong, ketua-ketua kampung yang berdekatan serta kakitangan Kementerian Pertahanan.

    Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Sirah Nabawiyah oleh Pengiran Fakrul bin Pengiran Zaid dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).

    Majlis diteruskan dengan Dikir Assalammualaika oleh Imam Surau Al-Barakah, Awang Fathur bin Ahmad dan diikuti dengan Sembahyang Fardu Isya berjemaah, Selawat Badriyah dan Dikir Dibaie serta Dikir Marhaban oleh Soldadu Abdul Muiz bin Mustafa dari JAMA’AT.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Mejar Narulismandy bin Haji Samaih dari JAMA’AT, Selawat Qiam, Surah Al-‘Asr, Tasbih Kaffarah dan Doa Kedua Ibu bapa.

    Sementara itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (Unit Keugamaan dan Takmir Surau) turut mengadakan majlis serupa di Surau Al-Syafi’i, UNISSA, semalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh pelajar Tahun 2 dari Fakulti Usuluddin, Awang Mohd Hazmi bin Haji Abdul Mutalib.

    Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan.

    Laungan Dikir Syarafil Anam dipimpin oleh Exco Unit Keugamaan dan Takmir Surau, MPP, Awangku Mohd Afiq Hanif bin Pengiran Mohd Hadzarin. Manakala Doa Dikir pula dipimpin oleh pelajar Tahun 2 dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Awang Mohd Abdul Muhaimin bin Haji Kifli.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda