Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Bahagian Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, kelmarin, telah mengadakan Majlis Dikir Sempena Tamat Latihan Bagi Rekrut Polis Tambahan (APO) Lelaki Skuad 1 dan 2 / 2016 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Pusat Latihan Polis, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Gerakan, Snr Supt Haji Chipli bin Haji Mohammad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Rekrut APO 7072 Abdul Kahar bin Abdul Manan dan diteruskan dengan Dikir As-Salai dan Marhaban yang dibawakan oleh seramai 62 orang rekrut.
Acara kemudian diteruskan dengan menabur bunga rampai yang didahului oleh Snr Supt Haji Chipli dan diikuti oleh pegawai-pegawai, para jemputan serta ahli keluarga rekrut yang diraikan.
Sepanjang menjalani latihan di pusat latihan itu, 62 orang rekrut berkenaan telah didedahkan dengan beberapa latihan asas kepolisan daripada segi fizikal, undang-undang dan kerohanian bagi mempersiapkan diri mereka sebelum keluar bertugas sebagai anggota polis tambahan (APO).
