Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis dikir terus bergema

    Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan, Hajah Saemah Kepli & Mazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Bagi memeriahkan lagi 12 malam berturut-turut sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, beberapa pihak di negara ini terus mengadakan majlis dikir di masjid-masjid seluruh negara.

    Sehubungan itu, warga Kementerian Pendidikan serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan majlis seumpamanya yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Majlis berkenaan diisikan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan seterusnya majlis dikir dengan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Dikir Syarafil Anam dan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mat Jaya bin Ibrahim.

    Sementara itu, dalam majlis berasingan, majlis seumpamanya juga diadakan oleh warga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat majlis.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika hadir pada Majlis Dikir yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
    Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti hadir pada Majlis Dikir di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

    Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Magrib berjemaah, diikuti sembahyang Sunat Hajat, seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat, diteruskan dengan Dikir Assalamualaika yang dibawakan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan rombongan KHEU.

    Majlis tersebut diikuti dengan Dikir Bisyahrin yang dibawakan oleh Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam, Dikir Badat dibawakan oleh guru-guru agama Daerah Belait, kemudian Sembahyang Fardu Isya berjemaah, diteruskan selepas itu dengan Dikir Asyraqal dibawakan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Muhammad Jamalul Alam dan rombongan KHEU.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Akop bin Lamat.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abd Hamid bin Haji Momin; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap(Pentadbiran dan Kewangan) KHEU Awang Roslan bin Haji Taja’ah dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang.

    Majlis seumpamanya juga turut diadakan oleh warga Jabatan Perdana Menteri yang diadakan di Masjid Mohamed Bolkiah Serusop dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Kamaludin bin Haji Bungsu selaku tetamu kehormat majlis.

    Haji Kamaludin selaku tetamu kehormat majlis pada majlis yang diadakan di Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop.

    Majlis Dikir di Masjid Mohamed Bolkiah berlangsung selepas Sembahyang Fardu Isya dan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya Dikir Syarafil Anam dan Dikir Marhaban yang diketuai oleh imam masjid berkenaan, Haji Muslim bin Haji Abdul Razak.

    Dalam majlis serupa yang diadakan di Masjid Kampung Kapok, seramai 18 terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Lambak Kanan Kawasan 2 dan Persatuan Kegiatan Warga Emas cawangan Bandar Seri Begawan telah mengikuti Majlis Dikir anjuran ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan, baru-baru ini.

    Turut hadir bagi mengetuai rombongan berkenaan ialah Ketua Kampung Perpindahan Lambak Kanan kawasan 2, Haji Basri bin Abu Bakar.

    Bacaan dikir yang dibawa pada malam itu ialah Dikir Assalamualaika, Dikir Khairuman, Dikir Bisyahrin, Dikir Alhamdulillah dan Dikir Asyarakal.

    Majlis Dikir juga disemarakkan di Masjid Kampung Lubok Pulau, Tutong oleh muslimah-muslimah dari masjid-masjid Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Isteri Penghulu Mukim Tanjong Maya, Hajah Asmah binti Bakar.

    Majlis tersebut juga turut diadakan oleh seramai 50 orang pendikir dan Muslimah Kampung Penanjong di salah sebuah rumah penduduk iaitu rumah Awang Abdul Tuah bin Awang Iring di Kampung Penanjong, baru-baru ini.

    Menurut isteri kepada Awang Abdul Tuah, Dayang Nafsiah binti Ismail, majlis dikir diadakan setiap tahun ini bagi memeriahkan lagi malam sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W di samping dapat mengingati ahli-ahli keluarga terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda