Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame’ Asr Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan malam ini telah mengendalikan Majlis Berdikir Syarafil ‘Anam 12 Malam Berturut-turut sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1445 hijrah bersamaan 2023 Masihi di Jame’ Asr Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku ketua rombongan dan tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Aktiviti tahunan tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi rasa cinta yang mendalam kepada Rasulullah SAW dengan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Baginda dalam menyebarkan syiar Islam serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan kementerian.
Selesai sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, majlis berdikir dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan Dikir Assalamualaika disusuli dengan dikir-dikir syarafil ‘anam lainnya.
Majlis diakhiri dengan Doa Dikir serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Rombongan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya juga akan mengadakan majlis seumpama ini di beberapa masjid yang terpilih di seluruh negara bagi sama-sama memakmurkan dan mengimarahkan masjid di samping memperbanyakkan dikir dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.