Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang akan diadakan pada 7 Ogos depan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.
Acara dimulakan dengan menunaikan solat fardu Maghrib dan solat sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid UBD, Awang Mohammad bin Haji Bagol.
Acara seterusnya diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil khusus untuk Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim
Majlis diteruskan dengan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan doa dihindari daripada COVID-19 yang dibacakan oleh Awang Mohammad.
Majlis diakhiri dengan solat fardu Isyak berjemaah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw, selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap kementerian-kementerian serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16.
Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid UBD; persatuan-persatuan belia; pergerakan-pergerakan belia; belia-belia masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid; institusi pengajian tinggi; pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB); dan ahli-ahli kelab dan alumni.
Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-16 pada tahun ini menyasarkan bagi memartabatkan pergerakan belia dengan memperingati dan mengumpulkan belia-belia di negara ini dalam satu perhimpunan dengan kegiatan yang bermakna. Pada tahun ini, Sambutan Hari Belia Kebangsaan membawa tema ‘Belia Siaga Masa Depan’ akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.