BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Bagi meraikan kepulangan Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) ke-14 yang selamat kembali ke tanah air awal bulan ini, satu majlis Doa Kesyukuran telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.
Pasukan IMT ke-14 yang dianggotai oleh lapan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai Polis Diraja Brunei (PDB) telah menamatkan misi sebagai pasukan pemantau antarabangsa di kepulauan Mindanao selama setahun dan kembali ke tanah air pada 6 September lalu.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dan Pesuruhjaya PDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

Acara dimulakan dengan bacaan wirid Doa Selamat, Doa Kesyukuran seterusnya diikuti dengan bacaan Dikir Marhaban bagi menyambut kepulangan pegawai dan anggota yang diraikan.
Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pengarah-pengarah awam dan tentera, para pegawai kanan dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.