Oleh Yusrin Junadi & Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 24 SEPT – Bersempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35, 2025, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran di semua sekolah rendah, menengah, Arab, agama dan maktab di bawah pentadbiran kedua-dua kementerian berkenaan di seluruh negara.
Acara yang dikendalikan oleh pihak sekolah masing-masing itu diisikan dengan bacaan Doa Hari Guru sebagai tanda mengenang jasa dan khidmat bakti guru dalam mencurahkan ilmu, di samping memohon kepada Allah SWT agar para guru sentiasa dikurniakan kesejahteraan, istiqamah serta bersemangat tinggi dalam melaksanakan tugas dengan penuh gigih, sabar dan ikhlas.
Bagi sekolah Arab dan agama khususnya, bacaan Doa Hari Guru dilaksanakan menerusi Program Keagamaan Senegara (PKS) yang diadakan secara serentak di seluruh negara sempena sambutan tersebut.
Di Daerah Belait, majlis utama berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria, dengan penyertaan kira-kira 290 orang pelajar dan guru.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti bacaan Surah Yasin serta Doa Hari Guru.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk Nabi Muhammad SAW Guru Tauladan Sepanjang Zaman yang disampaikan oleh salah seorang guru sekolah berkenaan, Haji Ibrahim bin Haji Mat Daud.
Acara seterusnya diisi dengan bacaan beramai-ramai Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Nuur yang dipimpin oleh para pelajar sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai penutup serta bagi memberkati majlis berkenaan.




