Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Doa Selamat bagi pemergian pegawai AIOT

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi pemergian pegawai Pasukan Pemerhati Interim Tambahan (AIOT) yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir ialah pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah, timbalan pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN), penasihat pertahanan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat dan Fardu Asar, Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Yasin dan Asmaul Husna, diikuti dengan tazkirah bertajuk Kerjasama Dalam Mencapai Keamanan yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatanarah Agama (JAMA’AT) ABDB, Awang Mohammad Fahmi bin Haji Matnor.

    Majlis kemudiannya disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada pegawai AIOT dan diiringi dengan laungan Dikir Marhaban.

    GAMBAR SERAHAN MINDEF
    GAMBAR SERAHAN MINDEF
    GAMBAR SERAHAN MINDEF

     

    Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan Selawat Qiam dan diikuti dengan doa untuk kedua ibu bapa dan memohon kebaikan dunia dan akhirat serta dijauhkan dari api neraka yang dipimpin oleh pegawai dari JAMA’AT ABDB, Mejar Mohd Nasyrul Wafiy bin Haji Mahdini.

    AIOT, yang diterajui oleh Malaysia merupakan kumpulan pemerhati ASEAN yang ditugaskan untuk memantau dan membantu mengekalkan gencatan senjata di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand selepas tercetusnya konflik pada Julai 2025. Mejar (U) Pengiran Abdul Azim bin Pengiran Idris selaku perwakilan ABDB bagi AIOT dijadualkan akan bertolak ke Siam Reap, Kemboja, hari ini.

    Penglibatan ABDB ini selari dengan kenyataan KHELN mengenai kesediaan Negara Brunei Darussalam dalam menyokong usaha pengamanan serantau dan antarabangsa dalam memupuk kehormatan bersama, hubungan kejiranan yang baik, serta menegakkan kedaulatan negara.

    Penyertaan AIOT merupakan simbol sumbangan penting Negara Brunei Darussalam kepada keamanan dan kestabilan serantau serta bukti komitmen berterusan terhadap misi keamanan dan kemanusiaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda