Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 22 NOV – Seramai 180 peserta berkhatan telah diraikan dalam Majlis Doa Selamat sebelum Berkhatan diikuti dengan Majlis Berdikir sempena cuti persekolahan.
Majlis anjuran Klinik Surgikal Pesakit Luar (SOPD) dan Unit Podiatri berlangsung di Dewan Serbaguna, Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sekali gus menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital SSB, Awang Mohamad Alikhan bin Haji Mohd Yakop.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Unit Ugama Hospital SSB, Awang Ali Omar bin Haji Mohd Yussof.
Majlis seumpama itu diungkayahkan bertujuan untuk memberi keistimewaan kepada peserta tersebut agar proses semasa berkhatan akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat keberkatan.
Selain itu, ia juga untuk menjalinkan kerjasama di antara hospital dan ahli keluarga kanak-kanak berkhatan serta mendapat kerjasama baik daripada keluarga.
Selain itu, taklimat mengenai kaedah penjagaan sebelum dan sesudah berkhatan juga diadakan di mana ia telah disampaikan oleh Jururawat SOPD, Haji Mohammad Kamsani bin Haji Abdul Khamis.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan Dikir Marhaban serta pembahagian bunga telur dan seterusnya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Ali Omar.
Turut hadir, ketua-ketua bahagian atau unit, para ibubapa dan penjaga serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Hospital SSB.