Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Majlis Perundingan Kampung (MPK) STKRJ Sungai Buloh Bukit Sibanging, Mukim Mentiri telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah, Penyampaian Derma Anak-anak Yatim dan Penyampaian Sijil Ahli-ahli MPK STKRJ Sungai Buloh hari ini.
Majlis berkenaan telah berlangsung di kediaman Pemangku Penghulu Mukim Mentiri dan juga Ketua Kampung STKRJ Sungai Buloh Bukit Sibanging, Awang A. Hamidun bin Mohd Daud.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan yang juga Ketua Kampung Belimbing Subok dan sekali gus menyertai bacaan tahlil dan Doa Arwah.
Majlis juga menyaksikan penyampaian sumbangan derma berupa kewangan kepada 21 orang anak yatim dari Kampung STKRJ Sungai Buloh yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Tetamu kehormat juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada 18 ahli MPK STKRJ Sungai Buloh.
Dalam sama-sama menanti kehadiran bulan suci Ramadan, majlis sedemikian diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan dan ukhuwah semasa warga kampung sambil berbagi rezeki dalam menyalurkan bantuan berupa kewangan kepada golongan anak yatim.
Selain itu, majlis berkenaan turut mendidik rasa kehambaan dalam sama-sama memohon rahmat daripada Allah SWT dan mendoakan kebaikan untuk ahli keluarga dan penduduk kampung yang telah kembali ke rahmatullah.