Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis erat ukhuwah warga Mahkamah Syariah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Meskipun Syawal semakin ke penghujung, suasananya masih meriah dengan majlis-majlis sambutan dianjurkan pelbagai pihak di negara ini.

    Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini tidak ketinggalan menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Dewan Serba guna, Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah di ibu negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Awang Mohammad Arif bin Haji Sabtu, diikuti ucapan daripada pengerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Mahkamah-mahkamah Syariah Bagi Tahun 1446H/2025M.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan tausyeh daripada mahasiswa dan mahasiswi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, tayangan video rakaman lakonan pegawai-pegawai Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA) dan video ucapan daripada warga Mahkamah-mahkamah Syariah dan seterusnya tayangan video ucapan daripada seluruh warga Mahkamah-mahkamah Syariah di seluruh negara serta beberapa aktiviti lain bagi memeriahkan majlis tersebut.

    Sambutan tersebut merupakan acara yang diadakan setiap tahun bersempena Hari Raya Aidilfitri dengan tujuan mengeratkan lagi silaturahim dan semangat ukhuwah seluruh warga Mahkamah-mahkamah Syariah.

    Turut hadir di majlis tersebut, panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, pemangku ketua pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim syar’ie, pemangku pengarah Jabatan Kehakiman Negara, pendaftar-pendaftar, dan pegawai-pegawai dari Jabatan Kehakiman Negara serta seluruh warga Mahkamah Syariah.

    Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bergambar ramai semasa majlis yang diadakan kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda